Monday, March 8, 2010

Cerita Along #1

Ini cerita imbas kembali mengenai Along sewaktu dia kecil dahulu. Umur dalam lingkungan 6-10 tahun. Along seorang anak yang bijak, degil, keras kepala, dan kerap sakit kepala.

Mak dah bawa along ke macam-macam klinik. Klinik kerajaan, klinik swasta, klinik murah, klinik mahal, dan lain-lain klinik juga. Walaupun mak tak banyak duit, mak tetap bawa Along untuk berubat. Dulu, nilai RM tu tersangat lah tinggi (duit lebih mahal dari barang). Mak tetap bekorban untuk memastikan Along tidak sakit kepala lagi. Puas dah berubat, tetapi Along tetap sakit kepala. Sakit kepala tahap hantuk kepala ke dinding. Memang sakit. Along membesar dengan ubat-ubat. Dadah memenuhi saraf-saraf Along. Ada suatu hari, ada seorang makcik beritahu mak, cuba cara kampung untuk ubat sakit Along. Mak bersetuju.

Mak bawa Along ke rumah bomoh tu. Rumah bomoh tu kalau jalan kaki, makan masa 15 minit juga. Tapi mak bawa juga Along. Hanya dengan berjalan kaki. Along ni bukan lah dari keluarga senang. Ayah along pun hanya ada sebuah motor Honda petak aje. Ayah pun dalam seminggu, hanya 2-3 hari aje ada di rumah. Hari-hari selebihnya mak cakap ayah pergi kerja. Bomoh tu bukan lah yang guna jampi serapah pelik-pelik. Cuma guna ayat-ayat suci al-Quran. Pakcik bomoh tu dipanggil Pak Beruk. Gara-gara dia membela seekor beruk. Pakcik tu memberi air tawar untuk diminum, juga untuk buat mandi. Sakit kepala Along hanya ok sekejap aje. Lepas tu sakit kepala dia datang lagi.

Saudara-mara pun tahu Along kerap sakit kepala. Kalau balik kampung, makcik atau pakcik mesti akan tanya. Sakit kepala lagi ke si Along ni. Mak cakap kerap juga, tapi tak ada lah sampai ponteng sekolah.

Tak lama lepas tu, ada pula orang cadangkan berubat dengan bomoh lain. Bomoh ni nama Pak Hamid. Dia cakap loghat Kedah yang sangat pekat, mak dan abg Ngah terpinga-pinga apabila pak hamid minta daun peria yang disebut dalam loghat kedah yang pekat. Along baring aje dengan kepala yang berdenyut-denyut bagai nak pecah. Mak cakap daun peria tak ada. Pak Hamid minta daun sirih pula. Mak cakap daun sirih banyak lah. Abg Ngah tolong ambil daun sirih dibelakang rumah, masa tu daun sirih kat belakang rumah memang banyak. Mak tanam. Pakcik kiai yang jaga masjid selalu datang beli sirih. Orang-orang kampung pun ada datang beli sirih yang mak tanam. Ok, sambung cerita Pak Hamid. Pak Hamid ambil daun sirih dan satu jag air dan membaca ayat-ayat suci. Air untuk minum, daun sirih pula untuk di ramas dalam 1 baldi untuk buat mandi. Alhahdulillah, dengan izin Allah yang Maha Kuasa cara daun sirih ni memang melegakan sakit kepala Along. Setiap kali sakit kepala datang, Along akan petik sendiri daun sirih dan buat mandi. Ayah ada ajar, bila nak petik daun tumbuhan untuk buat ubat ayah suruh baza ayat ni: "Assalamualaikum Nabi Ilyas, nak petik daun/bunga/ranting (apa yang mahu dipetik) untuk buat ubat (sebut nama penyakit)". Kalau tak silap, Nabi Ilyas ni samada penjaga tumbuhan atau pun penjaga ubat-ubatan. Tak ingat dah, sesiapa yang tahu boleh lah beritahu ye.

Pernah juga mak bawa Along ke klinik kerajaan, klinik tu jauh. Masa tu kat kampung Along belum ada klinik kerajaan lagi. Kalau ada pun, hanya dibuka pada hari sabtu. Kliniknye pun berbentuk sebuah rumah aje. Tak nampak macam klinik pun. Kampung Along memang agak daif suatu masa dahulu. Disebabkan terlalu kerap ke klinik untuk rawatan sakit kepala, doktor mencadangkan x-ray. Apabila Along mendengar perkataan x-ray tu, dia tidak lagi sakit kepala (pura-pura tak sakit) walaupun sebenarnya sakit. Kerana dia membayangkan x-ray tu satu prosedur membelah kepala untuk mencari punca kenapa kerap sakit kepala.

Mak memang banyak bersusah payah untuk Along, walaupun mak sakit lutut. Jalan pun lambat-lambat. Mak tetap usaha bawa along untuk berubat. Along sayang mak sangat-sangat. Terima kasih mak.




0 comments:

 
Themes by: Simple-Blogskins. Powered by Blogger